Budak Lelaki Disambar Buaya Masih Belum Ditemui

Pasukan SAR menjalankan operasi di Sungai Kinabatangan, hari ini. Gambar ihsan APM.

KINABATANGAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki 8 tahun yang dibaham buaya ketika mandi di sungai Kampung Muhibbah Hujung dekat sini, masih belum ditemui.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon Sandakan, Kapten (PA) Ahmad Roslan Mohd Kanel berkata operasi SAR masih belum menemui sebarang tanda mangsa akan dijumpai.

“Kawasan operasi pencarian telah diperluaskan kepada 10 kilometer persegi dari tempat kejadian hari ini berbanding kelmarin hanya 7 kilometer persegi,” katanya.

Beliau berkata operasi pencarian dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di jeti Pangkalan Bukit Garam bermula jam 8 pagi membabitkan 35 anggota.

“Pasukan SAR telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan menggunakan lima buah bot termasuk dua bot milik penduduk kampung,” katanya.

Ahmad Roslan berkata operasi mengesan buaya tersebut telah dilakukan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Hidupan Liar.

“Arahan tembak buaya turut dikeluarkan kepada petugas Jabatan Hidupan Liar jika terlihat buaya berkenaan dan operasi mengesan buaya itu juga turut dijalankan semalam oleh kakitangan jabatan itu,” katanya.

Beliau memberitahu pihak Jabatan Hidupan Liar telah lama memasang Papan Tanda Amaran berkaitan buaya sekitar kawasan tersebut.

Dalam kejadian jam 10 pagi Rabu, mangsa bersama bapanya sedang menurunkan perahu ke dalam sungai daripada tebing sungai dan terus mandi.

Bapa mangsa telah terdengar bunyi kocakan air dari arah belakang lalu terkejut melihat anaknya dibaham buaya.

Bapa mangsa telah melihat buaya itu timbul semula dari dalam sungai di seberang lokasi kejadian sebelum meminta bantuan pihak berkuasa.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *