Bekas Pengusaha Tadika Didakwa Buat Tuntutan Palsu RM45,360

LABUAN: Seorang bekas pengusaha tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini terhadap empat pertuduhan membuat tuntutan palsu mengenai subsidi yuran Taska 1Malaysia bernilai RM45,360 tiga tahun lepas.

Kasmah Kasron@Kasarum, 60, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh didakwa mengemukakan 20 borang permohonan untuk subsidi yuran Taska 1Malaysia berjumlah antara RM10,800 hingga RM12,960 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan antara 27 Mac 2017 dengan 15 Feb 2018. Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 20 pemohon tidak pernah memohon subsidi itu.

Dia dituduh mengemukakan tuntutan palsu itu di bangunan JKM Labuan ketika mengendalikan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pegawai pendakwa SPRM Rekhraj Singh menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali.

Hakim Abu Bakar membenarkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM4,000 oleh dua penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melapor diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 25 Sept untuk sebutan semula kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *