Sputnik V: Russia Umum Vaksin Covid-19

Vaksin yang didakwa dapat melawan Covid-19.

Moscow: Russia mendakwa menjadi pendahulu dalam perlumbaan bagi penghasilan vaksin Covid-19 apabila mengumumkan vaksin Sputnik V pada Isnin.

Nama itu dipilih bagi merujuk kepada satelit pertama buatan manusia yang dilancarkan Kesatuan Soviet ke angkasa lepas pada 4 Oktober 1957.

Presiden Russia Vladimir Putin berkata, vaksin diluluskan didakwa dapat memberikan ‘kekebalan mampan’ terhadap virus itu. 

Vaksin itu dibangunkan oleh institut penyelidikan Gamaleya dengan kerjasama kementerian pertahanan negara berkenaan. 

Ketua Dana Pelaburan Langsung Russia Kirill Dmitriev berkata, fasa ketiga pembangunan vaksin berkenaan bermula Rabu. 

Beliau juga memberitahu pengeluaran dijangka bermula September ini dan 20 negara sudah membuat tempahan membabitkan lebih satu bilion dos.

Bagaimanapun, saintis di seluruh dunia mempersoalkan pengumuman Russia memandangkan vaksin itu diluluskan hanya selepas dua bulan penggunaannya diuji terhadap manusia. 

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pihaknya hanya meluluskan vaksin Covid-19 yang melepasi proses kelayakan yang ketat dan menyeluruh. 

Jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata, ia termasuk meneliti prosedur keselamatan dan keberkesanannya. 

Beliau berkata, mana-mana negara mempunyai bidang kuasa menerusi agensinya untuk meluluskan penggunaan vaksin dan ubatan.

Bagaimanapun, katanya, WHO mempunyai garis panduan tersendiri bagi tujuan itu. 

“Untuk mendapatkan kelulusan WHO, kami perlu meneliti aspek keselamatan dan menilai data daripada ujian klinikal. Ini membabitkan mana-mana vaksin,” katanya.

Sehubungan itu, badan dunia itu sudah berhubung dengan kerajaan Russia mengenai perkara berkenaan. 

WHO sebelum ini mengumumkan ada 168 vaksin Covid-19 dibangunkan di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, 28 daripadanya sudah memasuki peringkat ujian terhadap manusia.

Enam daripada 28 vaksin itu juga sudah memasuki fasa ketiga ujian klinikal. 

Bagaimanapun, badan dunia itu memaklumkan Sputnik V hanya baru memasuki fasa satu.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *