Remaja 13 Tahun Jadi Orang Tengah Jual Syabu

Remaja berusia 13 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di Kampung Delima, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Kampung Delima, semalam.

Suspek juga dikehendaki polis selepas  bertindak melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara Manggatal pada April lalu sebelum berjaya ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika tangkapan dibuat, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan berjaya menemui enam paket syabu dalam milikan suspek seberat 5.74 gram dengan nilai RM574.

“Siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai orang tengah yang menjual syabu di sekitar kawasan Kampung Delima  dan mendapat upah dari hasil jualan bahan terlarang itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Habibi berkata, suspek yang juga warga asing adalah tahanan di Pusat Tahanan Sementara Manggatal tetapi bertindak melarikan diri.

“Suspek dikehendaki polis selepas melarikan diri pada 12 April lalu dari pusat itu,” katanya.

Tambah Habibi lagi, kes disiasat mengikut

Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidam lebih lima tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Habibi berkata, kejayaan tangkapan itu adalah berdasarkan maklumat risikan dan maklumat orang awam di kawasan sarang penagihan di daerah ini.

“Tangkapan ini adalah untuk memastikan tindakan dapat diambil terhadap sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan berkenaan.

“Oleh itu, usaha ini akan terus dipertingkatkan menerusi kekerapan operasi bagi memastikan kesejahteraan daerah ini sentiasa terjamin,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *