Jeffrey Kitingan Kekuatan STAR Hadapi PRN

Ketua Penerangan STAR Jeffrey Kumin berkata partinya sudah bersiap sedia sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan STAR Jeffrey Kumin berkata, antara kekuatan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah faktor presidennya, Jeffrey Kitingan.

Katanya, Jeffrey selama ini sangat konsisten dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini termasuk berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

“Kekuatan parti STAR ini memanglah pusat dia iaitu daripada presiden kami sendiri, Jeffrey Kitingan kerana dia punya perjuangan konsisten sejak 1985 hingga hari ini.

“Beliau dilihat begitu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan hak Sabah terutama Perjanjian Malaysia 1963,” katanya hari ini.

Jeffrey berkata, dengan komitmen presiden parti itu yang sentiasa konsisten, ia dilihat sebagai mekanisme untuk terus memperjuangkan isu setempat, walaupun parti itu kini berada dalam komponen Perikatan Nasional (PN), berbanding ketika menjadi pembangkang suatu ketika dulu.

“Selain itu, kenapa parti ini semakin diterima dan semakin disokong adalah kerana perjuangan itu sendiri, yang pertama kerana Jeffrey sebagai ikon dalam parti ini.

“Kedua kerana perjuangan dia tidak ada perubahan, biarpun kita sebahagian daripada PN, perjuangan kita tetap sama iaitu mahu mengembalikan hak dalam MA63,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata parti itu yakin dapat memenangi hati rakyat dengan ideologi perjuangan hak sejagat menjelang PRN.

Katanya, walaupun persiapan PRN kini dibayangi senario semasa dan keputusan mahkamah mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 17 Ogos ini, ia tidak akan merencatkan persediaan mereka.

“Parti STAR sebenarnya sudah bersiap sedia sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

“Selepas PRU14, keahlian parti sudah berkembang dan hampir mencapai 300,000 keahlian selain memiliki kira-kira 50 bahagian di seluruh Sabah,” katanya.

Pada PRU14, parti itu bertanding di 20 kerusi DUN dan 6 Parlimen.

Daripada jumlah itu, STAR berjaya memenangi 1 kerusi Parlimen dan 2 DUN.

STAR juga mendapat tambahan 1 kerusi DUN selepas bekas wakil rakyat BN di Sook, Ellron Angin menyertai mereka pada 2018.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *