Cikgu Harry Redah Hutan Sampaikan Ilmu Di Pedalaman Sabah

Harry Yanto Bikal berjalan kaki hampir 10km meredah hutan untuk sampai ke SK Longkogungan, Penampang tempat beliau mengajar.

PENAMPANG: Perjalanan dengan hanya berjalan kaki ke tempat kerja sejauh 10 kilometer dengan pelbagai rintangan seperti hutan dan titian kayu mungkin bukan suatu pilihan kerjaya untuk ramai.

Biarpun terpaksa mengharungi sungai, menaiki bukit dan melintasi jambatan gantung, namun itu adalah antara risiko diambil oleh 7 guru dan seorang kerani di Sekolah Kebangsaan (SK) Longkogungan, di daerah ini.

SK Longogungan di pedalaman daerah Penampang, Sabah.

Segala cabaran itu bagaimanapun, tidak mematahkan semangat mereka untuk mencurah bakti bagi memastikan 11 pelajar di situ mendapat pendidikan yang sama seperti pelajar di tempat lain.

Bagi Harry Yanto Bikal, 39, menggalas tanggungjawab sebagai guru di sekolah pedalaman bukanlah kerana terpilih atau dihantar bertugas. Sebaliknya beliau sendiri yang berbesar hati memilih untuk ditempatkan di situ.

Harry berkata, sebelum ini beliau pernah bertugas di SK Buayan juga dalam daerah sama, namun kenderaan masih boleh sampai sehingga ke kawasan sekolah berkenaan.

Terletak jauh di kawasan pedalaman, SK Longkogungan merupakan sekolah yang bersempadan antara 2 daerah, iaitu Penampang dan Tambunan di Sabah.

Lain pula dengan perjalanan ke SK Longkogungan yang menyaksikan individu yang mahu masuk ke sekolah itu terpaksa berjalan kaki meredah hutan selama kira-kira 2 jam, bergantung pada kekuatan fizikal serta mental seseorang.

Meniti kayu tumbang untuk menyeberang anak sungai adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kakitangan SK Longogungan, terutama selepas hujan.

“Pada 2017 bila saya dengar mengenai keadaan di SK Longkogungan, saya menawarkan diri untuk mengajar di sana sebab mahu membawa perubahan kepada sekolah itu.

“Bukan sahaja untuk perbaiki prestasi sekolah, tetapi juga daripada segi kemenjadian sekolah.

“Saya sedar tugasan itu sangat mencabar bukan sahaja kerana perjalanan ke sekolah itu, tetapi juga terpaksa berkorban berjauhan dengan keluarga demi mendidik anak-anak di kampung itu,” katanya ketika dihubungi.

Harry berkata, untuk menjadikan sekolah itu lebih “hidup” meskipun terletak jauh di pedalaman, pelbagai cabaran diharunginya, termasuklah memikul barangan seberat hampir 40 kilogram seperti tiang besi untuk bendera sekolah serta barangan komputer ke sekolah itu.

”Sebelum ini juga, saya pernah memikul pelbagai lagi barangan termasuklah cat, buku, peti ais, keperluan makanan untuk pelajar dan banyak lagi.

”Bayangkan meredah hutan tebal dengan keadaan jalan yang sangat mencabar. kadang-kadang saya sampai di sekolah sekitar pukul 2 pagi disebabkan keadaan cuaca buruk.

”Setiap kali cuaca buruk, saya sering ‘tersangkut’ di tengah-tengah hutan sebab keadaan banjir dan terpaksa tunggu air surut.

“Selain itu, saya juga kena berhati-hati sebab keadaan angin kencang boleh menyebabkan dahan kayu jatuh,” katanya.

Bagaimanapun, segala kesusahan yang dialami beliau sejak mengajar di SK Longkogungan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencurah bakti di sekolah itu.

Bagi Harry, itulah hasratnya sejak bergelar guru 11 tahun lalu.

Pengorbanan Harry itu juga tidak sia-sia apabila pernah mencuri tumpuan dan mendapat pujian netizen selepas videonya mengangkat peti ais ke sekolah tular di media sosial.

Selain itu, Harry juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Adiwira sempena majlis anugerah Hari Guru peringkat negeri tahun ini.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *