Russia Umum Vaksin, Harga Emas Jatuh Mendadak

Harga emas meningkat kukuh setakat tahun ini – Foto Bloomberg

SINGAPURA: Harga emas jatuh di bawah AS$1,900 seauns, penurunan dua hari berturut-turut bagi logam berharga selepas aset pelaburan selamat itu susut lebih lima peratus pada sesi pembukaan minggu ini.

Selepas mencatatkan rekod di atas AS$2,000 seauns minggu lalu, rali emas terhenti apabila pulangan bon Amerika Syarikat (AS) meningkat, sekali gus mengurangkan daya tarikannya.

Kejatuhan mendadak itu menyusuli aliran keluar dana sederhana tukaran asing sokongan emas dan tempoh 15 hari di wilayah lebihan belian bagi indeks pengukuhan relatif.

Emas meningkat kukuh tahun ini dan penurunan itu memberikan cabaran kepada pelabur logam berkenaan.

Aset selamat itu menjadi pilihan apabila pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi global, menyebabkan bank pusat dan kerajaan melaksanakan program rangsangan besar.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin berkata negara itu meluluskan vaksin COVID-19 pertama dunia untuk kegunaan, sekali gus meningkatkan minat bagi aset berisiko.

“Sebaik saja ia mencecah AS$2,000 seauns, minda pelabur mungkin terarah kepada peluang untuk meraih untung,” kata penganalisis sumber kanan di MineLife Pty, Gavin Wendt.

“Pencetus utama adalah berita mengenai vaksin COVID-19 Russia, yang menjadi petunjuk kepada pelabur untuk mengambil keuntungan daripada posisi emas mereka dan beralih semula kepada ekuiti. Ia langkah berisiko tinggi, namun jika anda sedang meraih untung, ia satu strategi mantap.”

Spot emas menjunam setinggi 2.1 peratus kepada AS$1,872.61 seauns dan diniagakan pada AS$1,885.33 di Singapura pagi ini, sambil niaga hadapan emas turut merosot di Comex.

Perak juga jatuh mendadak, dengan niaga hadapan kehilangan lebih sembilan peratus pada satu masa untuk diniagakan di bawah AS$24 seauns.

Antara bank yang mengunjurkan kenaikan harga emas beberapa minggu kebelakangan ini, Bank of America Corp meramalkan harganya akan meningkat sehingga AS$3,000.

Pulangan penanda aras Perbendaharaan meningkat lebih daripada 10 mata asas setakat bulan ini, di tengah-tengah minat risiko yang bertambah baik dan kemasukan besar-besaran terbitan hutang.-Bloomberg

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *