Rompak: Penganggur Dihukum 4 Tahun Penjara & Satu Sebatan

Tertuduh dibawa keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan merompak beg galas milik seorang wanita.

Hamizan Suhaime, 27, mengaku salah di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan rompakan ke atas seorang wanita berumur 32 tahun (pengadu) pada 28 Julai lepas kira-kira jam 3 petang di sebuah restoran berdekatan Taman Jambu.

Hamizan merampas beg mangsa yang mengandungi sebuah dompet didalamnya terdapat tiga keping kad pengenalan, satu lesen memandu, dua kad ATM serta wang tunai RM4,000.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menunggang motosikal seorang diri ke restoran berkenaan dan telah membuat pemerhatian kira-kira dua minit di belakang restoran itu untuk merampas beg galas yang diletak di kerusi berdekatan bahagian peha pengadu yang sedang minum.

Tertuduh kemudian membawa motosikalnya mendekati pengadu lalu merampas beg galas itu dan memecut laju motosikal menghala ke Ladang Imam Tawau untuk melarikan diri.

Tertuduh berjaya ditahan sepasukan polis selepas melakukan serbuan pada 5 Ogos lepas kira-kira jam 10.45 pagi di sebuah rumah Taman Abaka, Ladang Table, Bombalai.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinawaty Awang Kachee yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ke atasnya diringankan kerana menyesal dengan perbuatannya dan kasihan dengan ibunya yang tidak bekerja serta bapanya yang akan pencen beberapa bulan lagi.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *