Pelaksanaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Diteruskan, Tetapi Belum Denda

Wee Ka Siong berkata, sejak peraturan mewajibkan penggunaan CRS diperkenalkan 1 Jan lalu, kajian menunjukkan kesedaran ibu bapa meningkat daripada 38% pada 2019 kepada 44% tahun ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan meneruskan peraturan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan, tetapi belum mengenakan denda terhadap ibu bapa yang ingkar.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata penguatkuasaan melalui pendekatan berdasarkan pendidikan, advokasi dan nasihat akan diteruskan kerana kajian antarabangsa membuktikan keberkesanan CRS mampu mengurangkan risiko kecederaan kepada kanak-kanak dalam kemalangan.

Katanya, sejak peraturan itu diperkenalkan 1 Jan lalu, kajian menunjukkan kesedaran ibu bapa mengenai penggunaan CRS meningkat sebanyak 6%, daripada 38% pada 2019 kepada 44% tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS atas dasar kepentingan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak ketika berada dalam kenderaan.

“Ianya bukan bertujuan mengenakan penalti, saman mahupun menyusahkan orang ramai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Zakaria Mohd Edris (PPBM-Libaran) yang ingin tahu sejauh mana pelaksanaan dasar
penggunaan CRS dan adakah kerajaan bercadang memperluaskan peraturan itu kepada pengangkutan awam.

Wee berkata, beliau sudah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) untuk berbincang dengan pihak berkepentingan, termasuk pengeluar kenderaan, pembuat dan pengimport CRS untuk mengurangkan harga CRS.

Katanya, penggunaan CRS ketika ini hanya diwajibkan kepada kenderaan persendirian dan pengecualian untuk keluarga besar yang sukar memasang CRS dengan baik di dalam kenderaan.

“Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, penggunaan CRS digalakkan dan penyedia perkhidmatan digalakkan untuk menyediakan CRS universal bagi kegunaan pelanggan.”- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *