‘Musa, Berilah Generasi Baharu Tadbir Sabah’ – Anifah Aman

Anifah: “Saya fikir beliau telah melakukan yang terbaik untuk Sabah, tetapi saya berpendapat beliau (Musa) perlu bagi laluan kepada orang lain untuk ambil alih.”

KOTA KINABALU: Sudah tiba waktunya, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman memberi peluang kepada generasi baharu untuk mentadbir negeri ini.

Demikian kata Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berhubung senario politik di Sabah menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Mengulas mengenai pertanyaan media, sama ada Anifah mahu menerima abangnya masuk ke parti berkenaan, beliau bagaimanapun memberi jawapan, sudah tiba waktunya memberi laluan kepada muka baharu.

“Saya fikir beliau telah melakukan yang terbaik untuk Sabah, tetapi saya berpendapat beliau (Musa) perlu bagi laluan kepada orang lain untuk ambil alih.

“Musa adalah abang saya, sudah tentu saya sayangkan dia, tapi politik berbeza di Kuala Lumpur, banyak orang-orang berbeza di sini pun (Datuk) Jefrey Kitingan dan (Tan Sri) Pairin Kitingan.

“Mereka juga berlawan, malah satu kawasan lagi, sebagai seorang rakyat Sabah, saya amat menghargai apa dilakukan Musa, tetapi saya fikir masa sudah berlalu, biar orang baharu mengambil alih,” katanya.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar itu berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama media anjuran PCS di Kota Kinabalu, pada Isnin.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, PCS bersedia untuk bertanding dalam jumlah yang boleh membentuk sebuah kerajaan baharu di Sabah.

Bagaimanapun, jumlah dan pengagihan kerusi belum lagi diputuskan.

“Saya ingat yang penting untuk kita, kalaulah kita ada pilihan raya akan datang kita akan tanding sebilangan kerusi yang boleh membentuk kerajaan.

“Jadi itulah jumlah dia supaya kita boleh bentuk kerajaan, but numbers we have to think, tapi ianya kita akan bertanding di kerusi yang boleh memungkinkan kita mentadbir kerajaan negeri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Anifah turut mendedahkan ada dihubungi oleh beberapa wakil rakyat yang bertindak keluar parti pemerintah baru-baru ini, namun kesediaan pihaknya menerima mereka belum lagi mencapai kata putus.

“Tidak juga bilang tidak terima, kita kena hormat juga, tapi kita akan nilai,” katanya.

Untuk rekod, PCS merupakan parti tempatan telah ditubuhkan sejak 2013 dan di jenamakan semula baru-baru ini dengan Anifah dilantik sebagai Presiden manakala bekas Presidennya sebelum ini, Datuk Seri Wilfred Bumburing kini selaku Timbalan Presiden.

Perjuangan parti berkenaan adalah berkait rapat mengenai perihal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga isu-isu setempat- AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *