Muis Pernah Mengadu Musa Punca Pulau Sebatik Mundur

Sarifuddin (kiri) & Datuk Muis Picho (kanan)

TAWAU: Bekas Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Muis Picho dikatakan pernah mengadu Tan Sri Musa Aman sukar meluluskan projek pembangunan di Pulau Sebatik ketika menjadi Ketua Menteri dahulu.

Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Kalabakan, Sarifuddin Hatta berkata, perkara itu dikatakan Muis kepadanya sebanyak dua kali sebelum berpaling tadah melompat parti pada akhir bulan lalu.

“Sila rakam, dia pernah bercakap demikian kepada saya.

“Ketika itu, saya hanya bertanya mengapa tiada pembangunan seperti jalan raya dan kemudahan infrastruktur lain di Pulau Sebatik sehingga kini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Ahli Parlimen Kalabakan Bersama Pemimpin Akar Umbi Parti Warisan Sabah di Kampung Mentadak Baru, di sini, hari ini.

Tambahnya, Muis berkata, tindakan Musa itu jauh berbeza dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang lebih mudah diajak berbincang.

“Muis cakap dia mudah menghubungi Ketua Menteri… kalau telefon atau ajak jumpa beliau (Mohd. Shafie) sedia melakukannya.

“Malah ketika ADUN itu datang memohon projek di Pulau Sebatik, Ketua Menteri turut meluluskannya kerana mahukan kehidupan rakyat terbela,” katanya.

Menurut Sarifuddin, sebagai bekas Pembantu Menteri Kewangan Sabah, sudah tentu dia tahu setiap projek yang diluluskan Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.

“Banyak projek diluluskan, namun, ada kita lihat kesannya sekarang?”

“Melihat perkara ini, sudah tentu kita boleh menilai sejauh mana keikhlasan pihak sana dalam memajukan Pulau Sebatik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman menyeru penduduk memilih wakil rakyat yang telus menjalankan tugas memperjuangkan hak rakyat jika mahu melihat Pulau Sebatik membangun.

“Jangan menggadaikan maruah kerana wang sehingga menyebabkan orang yang hanya mementingkan diri sendiri dan tiada pendirian menjadi wakil rakyat di pulau ini.

“Sudah tiba masanya rakyat bersama Parlimen Kalabakan memperjuangkan kemajuan kampung ini, pemimpin yang tidak boleh menjalankan kerja dengan telus dan baik perlu ditukar,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *