Anifah Belum Putuskan Untuk Bertanding Kerusi Mana

Anifah berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemubual dalam majlis itu.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan bahawa beliau belum lagi memutuskan sama ada untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan ataupun DUN Membakut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelasnya, beliau sedang meneliti beberapa perkara namun telah memberi bayangan akan bertanding di salah sebuah kerusi DUN dalam Parlimen Kimanis yang mempunyai ramai majoriti sokongan akar umbi terhadap PCS.

“Saya sudah jangka akan ada pemberita yang akan bertanya soalan ini. Dan apa yang saya boleh katakan buat masa ini ialah, saya belum lagi memutuskan untuk bertanding di kerusi DUN mana.

“Namun saya akan turun ke akar umbi di dua DUN itu untuk mendapatkan maklum balas mereka. Sekiranya kerusi itu mempunyai potensi untuk kita menang, kita akan tanding di situ. Yang penting PCS harus menang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memaklumkan PCS bakal menampilkan calon baharu untuk bertanding dalam PRN akan datang nanti.

Katanya, ramai diantara mereka mempunyai kualiti dan potensi yang boleh diketengahkan sebagai calon memandangkan sebahagian mereka merupakan golongan profesional dan pemegang PhD.

“Saya terkejut dalam PCS, ramai diantara mereka ini yang berkebolehan. Bukan ahli politik semata-mata tetapi juga ada golongan akademik. Maka gabungan ini perlu kita mantapkan bagi memastikan kerjasama diantara dua ini dapat menyumbang kepada kemenangan PCS dalam PRN nanti.

Dalam perkembangan lain, Anifah memberitahu, ada beberapa bekas wakil rakyat Bebas telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai PCS namun beliau belum memutuskan untuk menerima mereka atau sebaliknya.

Tambahnya, perkara itu perlu diteliti dengan baik sebelum memberi sebarang keputusan kerana banyak aspek yang perlu dinilai terlebih dahulu.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *