Warisan Akan Letak Calon Setia, Bukan ‘Katak’

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman meletak keyakinan tinggi bahawa pucuk pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meletakkan calon yang mempunyai jati diri yang kukuh serta tidak akan ‘melompat’ selepas menang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Katanya, ini terbukti apabila baru-baru ini tiada seorang pun ‘wakil rakyat Warisan’ menyertai kem pembangkang meskipun sudah ditawarkan pelbagai imbuhan wang ringgit yang berlipat ganda daripada mereka.

Azis bersama Azhar bergambar kenangan bersama Ketua PDM Parlimen Sepanggar.

“Kita akan kekal berprinsip iaitu tiada satu pun orang wakil rakyat warisan melompat ke pihak sebelah. Ini terbukti wakil rakyat Warisan sangat bermaruah serta tidak mudah untuk mengadai maruah mereka demi untuk kepentingan peribadi.

“Kita ucapkan syabas serta tahniah kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Matussin yang setia kepada Warisan meskipun telah banyak kali diganggu serta ditawarkan pelbagai imbuhan wang tunai yang banyak,” katanya semasa merasmikian penutupan Kursus Pemantapan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Sepanggar, Ahad.

Mohd Azis yang juga Ketua Bahagian Warisan Sepanggar berkata, beliau sendiri pernah ditawarkan wang tunai serta jawatan menteri penuh di peringkat persekutuan ketika pergolakan politik berlaku pada Mac lalu.

“Cuba bayangkan, saya merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), menterinya adalah Perdana Menteri ketika ini. Bukankah saya sangat penting baginya, bukan sedikit tawaran wang tunai yang dikemukakan ‘boleh jadi jutawan’ dalam sekelip mata.

“Saya teringat ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu di sekitar pekan Manggatal, saya didatangi oleh seorang pengundi berbangsa Tiong Hua. Dia akan ludah muka saya jika beralih (melompat),” katanya.

Mohd Azis berkata Beliau bersama Azhar sudah membuktikan kepada rakyat Sepanggar mereka masih kekal bersama Warisan sekaligus berharap pengundi akan kekal memilih Warisan pada PRN Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *