Slogan ‘Sabah Untuk Sabahan’ Tidak Bantu Sabah

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ yang dilaungkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak menyumbang kepada masalah ekonomi dan pengangguran kronik di negeri ini.

Naib Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, dalam satu kenyataan hari ini berkata pertumbuhan ekonomi di Sabah terbantut ketika WARISAN masih menerajui kerajaan negeri.

“Laporan terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan pertumbuhan ekonomi Sabah berada dalam tahap rendah dan sudah tentu ini akan menjadi masalah kepada rakyat di mana mereka berterusan memiliki wang yang sedikit untuk dibelanjakan disebabkan kemelesetan ekonomi.

“Tiga lalu lalu, Sabah menikmati antara tempoh ekonomi terbaik disebabkan kestabilan politik, pengurusan yang bijak oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga pemimpin yang berkebolehan serta berpengalaman.

“Namun hari ini, selepas dua tahun berkuasa, kerajaan negeri masih tidak mempunyai hala tuju jelas selain klise yang berterusan oleh Datuk Seri Shafie Apdal selaku Ketua Menteri untuk membasmi kemiskinan sebagai ‘hala tuju’ baharu di negeri ini,” katanya.

Dalam kenyataan media itu, beliau turut berkata ia berbeza di bawah kepimpinan BN sebelumnya yang mana Sabah mengalami perkembangan pesat yang memuncak sehingga mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.2 peratus, peratus tertinggi di negara ini pada tahun 2017.

Joachim juga turut berkata walaupun WARISAN mempunyai hubungan erat dengan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu masih sebuah Kerajaan Persekutuan, ia tidak menyumbang dalam peningkatan ekonomi Sabah.

“Lebih penting lagi, rakyat Sabah harus mempertimbangkan hakikat bahawa walaupun hubungannya erat dengan PH sebagai kerajaan persekutuan ketika itu, Shafie masih gagal meningkatkan ekonomi Sabah.

“Perlu diberi perhatian bahawa penurunan berterusan dalam pertumbuhan ekonomi Sabah berlaku pada masa yang dianggap sebagai masa yang baik ketika WARISAN menikmati hubungan baik dengan PH.

“Sekarang ia (Sabah) bertentangan dengan pemerintah pusat yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN). Dijangkakan Sabah akan terus menderita dan mencatat pertumbuhan ekonomi yang negatif pada tahun yang akan datang.

“Ini bermakna, rakyat akan terus kehilangan pekerjaan dan berterusan memiliki wang yang sedikit di dalam poket mereka. Ini akan menjadi lebih sukar buat Shafie untuk mencapai klise ‘membasmi kemiskinan’ itu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *