Ketua Anak Negeri Dilarang Jumpa Ketua Menteri

KALABAKAN: Terdapat usaha pihak tertentu menghalang Ketua Anak Negeri dan pemimpin di peringkat kampung hadir ke Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Geran Tanah Di Daerah Tawau dan Kalabakan, di Dewan Masyarakat Tawau, semalam.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Anak Negeri Pulau Sebatik, Mohd. Ikit ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Perjumpaan Ahli Parlimen Kalabakan Bersama Pemimpin Akar Umbi Parti Warisan Sabah di Kampung Mentadak Baru, di sini, hari ini.

MOHD IKIT

“Semalam, saya mendapat panggilan dari pihak berkenaan melarang kami termasuk Ketua Kampung hadir dalam majlis tersebut.

“Ia bertujuan bagi menegah kami dari berjumpa secara langsung dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sekali gus menunjukkan sokongan terhadapnya,” katanya, hari ini.

Tambah Mohd. Ikit, dia turut mendapat arahan daripada pihak sama yang melarang mereka hadir ke majlis perjumpaan bersama Ketua Bahagian Kalabakan Warisan Sarifuddin Hatta, hari ini.

“Pihak berkaitan memaklumkan, mana-mana pemimpin masyarakat (ketua kampung dan Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung) yang hadir bakal dikenakan tindakan termasuk dilucutkan jawatan.

“Justeru, ada pemimpin masyarakat di sini, tidak hadir, dipercayai akibat menyokong pihak terbabit atau bimbang akibat ugutan berkenaan,” katanya.

Bagi Ketua Daerah Tawau, Akhmad Monggoh, tindakan pihak berkaitan termasuk melakukan ugutan terhadap pemimpin kampung adalah tidak wajar.

“Saya ingin menegaskan bahawa kuasa melantik atau melucutkan jawatan berkaitan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri di Kota Kinabalu dan menteri.

“Wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri hanya boleh mengemukakan sokongan sahaja, bukanlah berhak melucutkan jawatan seperti yang didakwa mereka,” katanya.

Tambahnya, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, pemimpin masyarakat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan MPKK masih perlu berkhidmat seperti biasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman berkata, pihaknya kecewa sikap pemimpin berkenaan yang disifatkan lebih mementingkan diri dan kedudukan berbanding pembangunan di Pulau Sebatik.

“Dua penggal dia menjadi ADUN di sini, ditambah dengan lebih dua tahun semasa pentadbiran Warisan, apa yang dia lakukan untuk rakyat.

“Saya sedar akan masalah penduduk di sini, namun, ADUN berkenaan sukar memberi kerjasama dengan saya, malah sanggup mewujudkan jurang antara Ahli Parlimen dengan rakyat kerana mahu mengukuhkan kuasanya sendiri,” katanya.

Beliau turut membidas ADUN tersebut yang hanya lebih bersifat tin kosong.

“Lebih 10 tahun dia berkuasa di sini, jangankan pembinaan Bandar Sungai Melayu yang dihebohkannya ketika pilihan raya lepas, satu jeti pun, tidak pernah dibinanya sepanjang menjadi ADUN di sini.

“Malah kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik turut gagal dilakukan ADUN tersebut sekali gus menyebabkan pembangunan Pulau Sebatik terus terkebelakang berbanding negara jiran,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *