Kenny Akan Bertanding DUN Inanam Atas Tiket Parti Tempatan

Kenny Chua

KOTA KINABALU: Bekas naib pengerusi PKR Sabah Kenny Chua hari ini mengesahkan akan bertanding atas tiket parti tempatan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam yang disandangnya.

Bagaimanapun, beliau yang sebelum ini dipecat daripada PKR kerana menyokong Musa Aman untuk menjadi ketua menteri, enggan mendedahkan parti akan disertainya.

Katanya, perkara itu akan diumumkan dalam masa 2 atau 3 hari lagi.

“Sekarang saya dijemput oleh sebuah parti tempatan dan bagi saya, sudah tiba masanya untuk kembali ke akar umbi sebagai ‘Sabahan’.

“Saya sudah bertahun berjuang dengan parti nasional dan ini masa terbaik untuk saya berjuang pula dengan parti tempatan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan On TV iaitu sebuah siaran berbentuk hiburan tempatan Sabah yang bersiaran menerusi platform media sosial.

Kenny berkata, pengumuman mengenai parti mana diwakilinya akan diumumkan selepas mengadakan mesyuarat dengan ahli jawatankuasanya.

“Keputusan ini perlu dibuat atas persetujuan bersama iaitu dengan AJK (ahli jawatankuasa), kita tunggu nantilah tapi sememangnya parti tempatan Sabah.

“Parti yang akan saya sertai nanti juga sebuah parti yang betul-betul memperjuangkan Sabah terutama orang Sabah, sebab saya orang Sabah,” katanya.

Ketika ditanya peluangnya di Inanam selepas keluar daripada PKR, Kenny berkata beliau sudah memberi penjelasan menyeluruh menerusi media sebelum ini dan ia terpulang kepada rakyat di kawasan berkenaan untuk menilai.

“Saya kembalikan mandat kepada rakyat, tetapi secara amnya, Inanam sekarang lebih baik berbanding dulu.

“Penjelasan juga sudah dibuat, saya sudah menerangkan segalanya kenapa saya buat tindakan sebegitu (menyokong Musa). Saya fikir pengundi di Inanam akan sedar berhubung tindakan saya itu tapi apa yang pasti saya akan pertahankan Inanam, saya tidak akan lari,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Kenny yang buat kali pertama bertanding di kawasan itu memenanginya dengan majoriti 7,783 walaupun berdepan pertandingan 6 penjuru.

Beliau sebelum ini dilantik oleh presiden Warisan yang juga ketua menteri, Shafie Apdal sebagai pembantu menteri kewangan.

Bagaimanapun, hujung bulan lalu Kenny membuat kejutan apabila dilihat bersama kem Musa untuk cuba mengambil alih kerajaan pimpinan Shafie.

Usaha mereka gagal selepas Shafie mengumumkan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *