WARISAN Alu-Alukan Penubuhan Parti Baharu Tun M, Sedia Bekerjasama

Mohd Shafie menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima sempena Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan penyerahan geran tanah di daerah Tawau dan Kalabakandi Dewan Masyarakat Tawau, hari ini.

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersedia menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengalu-alukan penubuhan parti baharu berkenaan selain menyatakan kesediaannya untuk menjalinkan perikatan bersama bekas pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

“Kita (WARISAN) tiada masalah dengan kewujudan parti baharu Tun Mahathir kerana sebelum ini pun memang sudah wujud kerjasama.

“Takkanlah semasa Tun menjadi perdana menteri kita boleh menjalinkan kerjasama tetapi semasa dia tiada sebarang jawatan kita pula tidak mahu bekerjasama. Saya fikir sikap sedemikian bukanlah suatu nilai yang baik.

“Asalkan landasan perjuangan sesebuah parti politik itu selaras dengan aspirasi rakyat dan dasar perjuangan WARISAN, kita tiada masalah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Penyerahan Geran Tanah di daerah Tawau dan Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’amun Sulaiman dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir Amrullah Kamal.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini sudah membuktikan kemampuan menjalinkan kerjasama dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP dan PKR.

Semalam BH melaporkan, Tun Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang berasaskan perjuangan membela Melayu selain optimis boleh menjadi blok penentu kepada kemenangan PN dan PH dalam Pilihan Raya Umum.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggunaan logo semasa Pilihan Raya Negeri akan datang, beliau berkata perkara itu bukan satu isu kerana yakin dengan penilaian rakyat Sabah yang memilih wakil mereka bukan berdasarkan logo yang digunakan.

“Rakyat Sabah bukan memandang logo parti semata-mata, sebaliknya memilih wakil rakyat daripada parti yang dekat dengan hati mereka,” katanya.-BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *