Semua Pihak Perlu Terima Apa Sahaja Keputusan Pembubaran DUN Sabah – Hamzah

Hamzah Zainudin

KOTA KINABALU, 8 Ogos: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak perlu menerima apa sahaja keputusan, sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sah dibubarkan atau sebaliknya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sekiranya Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin benar-benar telah bersetuju untuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN, maka keputusan itu perlu diterima.

“Bagi saya ia perkara mudah … apa pun berlaku, ia perlu diselesaikan dengan secepat mungkin…tidak kira apa keputusannya, yang penting adalah  kita mencari penyelesaian demi menentukan pemimpin di negeri ini.

“Sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN)…terpulang kepada parti-parti yang ada di Sabah, untuk berjuang bagi menentukan rakyat menerima mereka…pada saya rakyat yang berhak menentukan masa depan negeri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaannya bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah, di sini hari ini.

Ditanya mengenai perjumpaannya dengan Juhar baru-baru ini, Hamzah berkata ia bertujuan untuk membincangkan beberapa perkara, termasuk mengenai masa depan negeri Sabah.

“Saya dan Tun Juhar adalah kawan baik dan kita telah kenal sejak 1990an.. jadi tidak ada salah untuk saya berjumpa dengan beliau, dan apa yang kami bincangkan secara terperinci biarlah kami sahaja yang tahu.

“Saya yakin Tun Juhar tidak akan menyalahgunakan kedudukannya dan untuk menjadi Ketua Negeri, biarlah dia bertanggungjawab di atas apa yang dilakukannya,” tambahnya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai cadangan dokumen IMM13 yang akan digunakan bagi menggantikan Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dimiliki migran di Sabah, Hamzah berkata tiada tempoh masa ditetapkan mengenai perkara berkenaan.

“Mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, kita perlu selasaikan sebaik mungkin. Kita perlu merancang untuk melaksanakan apa sahaja tindakan yang boleh mengatasi masalah berkenaan…tidak semestinya satu, dua, tiga, atau lima tahun, namun apa yang penting masalah itu perlu diselesaikan,” tegasnya.

Mengulas mengenai perjumpaannya dengan RELA Sabah beliau berkata, Sabah adalah negeri yang mempunyai paling ramai anggota RELA di Malaysia, iaitu kira-kira 298,000 anggota.

“Oleh itu saya bertemu mereka untuk mengingatkan mereka tentang tanggungjawab yang dipikul oleh mereka. Sebagai anggota RELA, mereka perlu sentiasa berdisiplin dan memahami serta menjiwai tentang tanggungjawab yang diberikan.

“Anggota RELA juga perlu sentiasa menjadi mata dan telingga kerajaan, serta sentiasa memahami dan mengikuti segala agenda yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *