COVID-19: Empat Lagi Kes Baharu Di Sandakan

KOTA KINABALU: Empat lagi kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan kes import bagi warganegara yang pulang dari Filipina.

Kesemua kes baharu ini dicatatkan di daerah Sandakan. Ini hari kedua, daerah ini mencatatkan kes positif bagi individu yang baharu pulang dari Filipina.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan empat kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah sebanyak 410 kes.

Bilangan kes aktif yang masih dirawat di hospital berpakar seluruh Sabah adalah sebanyak 20 kes, iaitu 10 kes di Sandakan, enam kes di Penampang; serta dua kes di Kota Kinabalu. Manakala, masing-masing satu kes di Papar dan Beluran.

Beliau berkata, tiga kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini kekal seramai 382 kes.

Kes kematian di Sabah kekal dengan lapan kes, masing-masing empat kematian di Kota Kinabalu dan satu kematian di Tawau, Penampang, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak 25 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 9,063 kes. Kes baharu itu terdiri daripada 16 kes tempatan dan sembilan kes import.

Bilangan kes aktif di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 210 kes, termasuk dua kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, terdapat 15 kes pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,728 kes. Kes kematian di Malaysia sehingga kini kekal 125 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *