Polis Tahan Suami Isteri Bersama 2KG Syabu

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri yang disyaki pengedar dadah ditahan polis bersama dadah jenis syabu seberat 2,020 gram bernilai RM80,000, kelmarin.

Suspek lelaki berusia 43 tahun dan isterinya berusia 34 tahun itu ditahan di tepi jalan di Jalan Lok Kawi – Putatan, di sini, jam 4.45 petang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemerhatian terhadap sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berhenti di tepi jalan berkenaan.

Katanya, ketika pemerhatian dilakukan, suspek lelaki sedang membuka bonet kereta manakala seorang wanita iaitu isteri suspek sedang duduk di dalam kereta dibahagian penumpang hadapan.

“Pasukan polis kemudian menghampiri kedua-dua suspek dan pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemui satu plastik di dalam bonet yang mengandungi dua bungkusan plastik tea dengan tulisan cina.

“Pemeriksaan dalam bungkusan itu berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2,020 gram.

“Anggota polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,100,” katanya pada sidang media di IPK Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Ketua JSJN IPK Sabah, Superintendan Ahmad Jawila dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mazli berkata, hasil siasatan mendapati suspek peroleh bekalan dadah daripada seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dan menetap di Labuan.

Katanya, suspek juga dipercayai pengedar dadah yang dikesan aktif sejak awal tahun lalu.

“Siasatan dan risikan lanjut masih giat dijalankan untuk mengesan pembekal dalam berkenaan.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari daripada tarikh pasangan itu ditahan sehingga 12 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.- AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *