Polis Cekup Dua Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

Lelaki disyaki pengedar dadah ditahan di kawasan Bandar Sierra, Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis cekup dua lelaki yang disyaki pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di Manggatal dan Inanam, semalam.

Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang ditahan di Bandar Sierra, Manggatal.

Bagi tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki 22 tahun yang ditahan di pekan Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi memburu kedua-dua suspek dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta yang sama.

“Suspek pertama ditahan bersama dua paket syabu seberat 50.42 gram manakala suspek kedua ditahan bersama 38 keratan straw berisi syabu seberat 9.14 gram.

“Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menggagalkan cubaan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, polis turut merampas sebuah kereta Honda City dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 59.56 gram yang dianggarkan bernilai RM6,042 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, siasatan mendapati modus operasi yang digunakan suspek adalah mendapatkan bekalan dadah menerusi orang perantara dengan habuan sebanyak RM200 untuk setiap penghantaran sebelum dijual dalam skala kecil.

“Kejayaan tangkapan ini adalah hasil risikan dan maklumat awam terhadap sarang penagihan dan penyalahgunaan dadah.

“Selain itu, tangkapan juga dijalankan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan berkenaan,” katanya.

Habibi berkata, usaha membanteras aktiviti dadah ini akan terus diperhebatkan dan dipertingkatkan menerusi kekerapa operasi dari semasa ke semasa.

Katanya, orang ramai juga dialu-alukan untuk membantu polis dengan menyalurkan maklumat untuk tindakan segera.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *