Jeffrey Dakwa Kenyataan Istana Negeri Tidak Betul

Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan kenyataan Istana Negeri menafikan menerima 33 akaun bersumpah (SD), sebelum menandatangani pengisytiharan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah palsu.

Beliau yang mewakili 33 ADUN yang memihak kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman juga berkata, perkara terbabit seharusnya difahami dan dikendalikan dengan mudah oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa mengadakan sidang media di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

“Pendirian kami mudah. Sekarang perkara ini telah dibawa ke mahkamah dan beliau (Juhar) yang juga bekas peguam seharusnya lebih arif untuk mengulas ini yang kini menjadi ‘sub-judice’.

“Saya rasa mereka berharap rakyat Sabah bodoh untuk memahami peristiwa yang menyebabkan pembubaran DUN Sabah berlaku, tanpa sebab yang sahih dan tidak masuk akal.

“Adakah mereka juga mengharapkan pertemuan antara Juhar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Nardin Awang dan yang lain pada pagi 29 Julai lalu bagi memaklumkan kesediaan Musa untuk membawa 33 SD serta permintaan Juhar untuk melihat salinan asli SD tidak berlaku?

“Atau mungkin mereka juga mahu rakyat Sabah percaya sidang media yang diadakan Musa dan ADUN lain yang menyokong beliau pada petang 29 Julai yang disiarkan di semua saluran media adalah tidak penting?” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri Sabah, Abinan Asli mendedahkan Istana Negeri tidak menerima 33 SD dan permohonan dari Musa untuk berjumpa dengannya pada hari DUN Sabah dibubarkan.

Selain itu, dalam kenyataan media terbabit Jeffrey turut memperinci kronologi selepas pertemuan itu yang Juhar mencadangkan kepada ADUN Balung, Datuk Osman Jamal untuk membawa SD asli pada keesokan harinya.

“Tuan Yang Terutama berkata pada petang 29 Julai lepas bahawa waktu sudah agak lewat dan mencadangkan pada Osman yang mewakili 33 ADUN untuk membawa SD itu pada keesokan harinya.

“Kemudian, Osman pergi ke Istana Negeri bagi tujuan perjumpaan yang dijadualkan pada jam 9 pagi bertarikh 30 Julai untuk menyampaikan SD kepada beliau secara rasmi menerusi setiausaha sulit seperti yang dipersetujui pada malam sebelumnya.

“Adakah kebetulan pula (Ketua Menteri) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertemu Tuan Yang Terutama bagi memohon pembubaran DUN (kerana menyedari beliau telah kehilangan pemerintahannya) beberapa minit sebelum ketibaan Osman yang mewakili 33 ADUN untuk mengemuka SD asli?

“Saya juga merasakan Abinan mahu rakyat Sabah percaya bahawa ia adalah satu amalan baik di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama menerima kunjungan Shafie pada lewat malam 29 Julai itu.

“Kemudian memberi Shafie perkara lain pada keesokan harinya tepat sebelum temu janji yang dijadualkan untuk bertemu Osman dan akhirnya memberikan persetujuannya untuk membubarkan DUN tanpa mempertimbang hak perlembagaan dan kedudukan 33 ADUN,” katanya.

Jeffrey berkata, Juhar seharusnya mencontohi tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara awal tahun lalu.

“Sekurang-kurangnya, Tuan Yang Terutama seharusnya menemu bual 33 ADUN ini dan menghilangkan segala keraguan menerusinya jika ada sebarang unsur ugutan.

“Beliau juga seharusnya memberikan kami, 33 ADUN budi bicara seperti yang dilakukan Yang di-Pertuan Agong kepada 222 Ahli Parlimen semasa perebutan kuasa oleh Pakatan Harapan pada Mac lalu,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *