TYT Sahkan Tidak Pernah Terima 33 Akuan Bersumpah Dari Musa Aman

Tun Juhar

KOTA KINABALU: Istana Negeri Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah menerima 33 Akuan Bersumpah (SD) seperti yang didakwa Tan Sri Musa Aman ketika cuba menggulingkan Kerajaan Sabah.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit Yang Dipertua Sabah, Abinan Asli berkata, Istana Negeri Sabah juga tidak pernah menerima permohonan daripada Musa untuk hadir berjumpa dengan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sehubungan itu, Abinan berkata, tuduhan yang dibuat seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam adalah tidak benar, tidak berasas dan mempunyai niat jahat.

Berikut kenyataan penuh beliau:

-Istana Negeri dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya dengan dakwaan yang dibuat oleh Zulkarnain Mahdar. Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat yang jahat.

-Bahawa Tuan Yang Terutama Tun, sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri tidak pernah menerima 33 Akuan Bersumpah (SD) sepertimana yang didakwa oleh Zulkarnain.

-Istana Negeri tidak pernah menerima permintaaan sama ada secara rasmi ataupun tidak rasmi dari pihak Tan Sri Musa Aman untuk berjumpa dengan Tuan Yang Terutama.

-Rombongan Tan Sri Musa Aman berserta beberapa ADUN yang memihak kepadanya telah cuba masuk ke Istana Negeri secara paksa pada 30 Julai 2020 lebih kurang jam 3.50 petang tanpa membuat permohonan secara rasmi dan telah disekat oleh pihak polis.

-Istana Negeri tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menahan pihak Tan Sri Musa Aman memasuki kawasan Istana, sebaliknya sekatan itu dibuat oleh Polis bagi mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak di ingini berlaku. Setelah mengambil kira suasana tegang yang berlaku pada masa itu, dan memandangkan tiada keperluan bagi rombongan Tan Sri Musa Aman untuk berjumpa dengan Tuan Yang Terutama oleh kerana Dewan Undangan Negeri telahpun dibubarkan pada pagi 30 Julai 2020. Maka, Tuan Yang Terutama Tun telah tidak memperkenankan rombongan tersebut masuk ke Istana Negeri.

-Tuan Yang Terutama amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi whatsapp mengaitkan Tuan Yang Terutama.

-Tuan Yang Terutama mengingatkan rakyat supaya bertenang dan tidak mudah mempercayai berita-berita palsu di Internet atau media sosial serta berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan menggangu gugat kehormonian rakyat.

-Tuan Yang Terutama menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu hati dan mengekalkan kehormonian Negeri Sabah yang hidup aman damai dalam pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Sekian, untuk makluman dan terima kasih..

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *