‘Last’ Sudah Tengok Muka Abang, Biarlah Kita Sama-Sama ‘Jalan’

‘LAST’ SUDAH TENGOK MUKA ABANG

TAWAU: “‘Last’ sudah tengok muka abang, biarlah kita sama-sama (jalan),” ujar Allahyarham Dayana Damsa, 27, guru sekolah rendah yang maut dalam kemalangan, semalam, kepada suaminya, Nurhan Ayub, 27.

Menurut Nurhan, ia antara ayat yang diucapkan Dayana, ketika menghantarnya di Lapangan Terbang Tawau (LTT), kelmarin, sehari sebelum tragedi meragut nyawa guru itu berlaku.

“Pada malam sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur, Dayana sempat datang dan baring diriba ketika saya sedang membaca alQuran.

“Ketika itu, arwah meminta saya untuk tidak pulang ke Kemaman, Terengganu kerana enggan berjauhan,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Awalnya Nurhan beranggapan ia mungkin hanya sikap manja isterinya, namun, rajuk itu berpanjangan sehinggalah mereka tiba di LTT.

“Walaupun arwah tidak menyatakan dengan jelas, namun, saya tahu dia sedang merajuk dan masih mahu saya tinggal bersamanya.

“Arwah akhirnya akur selepas dipujuk ibu dan memahami saya perlu bekerja,” katanya.

Tambah Nurhan, Dayana sempat menghantar gambar kepadanya dan meminta izin untuk pergi kerja, pada jam 5.14 pagi, semalam.

“Arwah pernah berkata dia mahu menjadi isteri yang solehah.

“Oleh itu, dia mahu meminta izin daripada saya terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara termasuk pergi kerja,” katanya sambil menggenggam niqab yang dipakai Dayana kali terakhir sebelum meninggal dunia.

Menurut Nurhan, mereka berdua juga bercadang untuk menyimpan sedikit wang setiap bulan untuk membeli tanah dan membuat madrasah anak yatim.

“Walaupun berat diterima saya tetap redha kerana hidup, jodoh dan mati itu sudah ditakdirkan.

“Alhamdulillah kerana Allah memberikan kebahagiaan yang tiada nilainya, ‘meminjamkan’ Dayana sebagai isteri kepada saya walaupun untuk 10 hari,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan di laman sosial Facebook, mendapati ratusan hantaran daripada kenalan beliau seluruh negara yang bersedih dengan pemergiannya.

Antara hantaran yang dimuat naik adalah kerja kebajikan Allahyarham ketika hidup termasuk menyertai program penyampaian bantuan kepada fakir miskin dan anak yatim.

Semalam, Dayana bersama tiga guru wanita Sekolah Kebangsaan Umas-Umas kemalangan di Kilometer 32 Jalan Tawau-Kalabakan.

Kemalangan itu mengorbankan Dayana bersama seorang rakannya Nurizyani Kafli, 24, manakala dua yang lain cedera.

Lebih menyedihkan, Dayana baru saja 10 hari mendirikan rumah tangga bersama Nurhan pada 27 Julai lalu.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *