Istana Negeri Sabah Sangkal Dakwaan Salah Guna Kuasa

Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin didakwa menyalah guna kuasa dan rasuah serta menerima imbuhan untuk membubarkan DUN

KOTA KINABALU: Istana Negeri Sabah hari ini menyangkal dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaitkan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin menyalah guna kuasa dan rasuah serta menerima imbuhan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Setiausaha sulit kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Abinan Asli berkata demikian merujuk kenyataan pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia Zulkarnain Mahdar yang membuat laporan dakwaan salah laku terhadap Juhar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam.

“Istana Negeri dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Zulkarnain Mahdar.

“Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat,” katanya pada sidang media di Istana Negeri Sabah di sini, hari ini.

Abinan menjelaskan Yang Dipertua Negeri Sabah tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah seperti yang didakwa Zulkarnain sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Sabah.

Katanya, Istana Negeri juga tidak pernah menerima permintaan secara rasmi atau tidak rasmi daripada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar.

Abinan berkata, Istana Negeri juga tidak pernah mengarahkan polis untuk menyekat Musa dan rombongan memasuki kawasan istana pada 30 Julai, sebaliknya sekatan itu dibuat bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Pada 30 Julai, Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri.

Pembubaran DUN Sabah itu rentetan kemelut politik yang menyaksikan Musa mengetuai beberapa Adun Sabah untuk menghadap Juhar selepas mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baru.

Abinan berkata, Juhar tidak memperkenan rombongan Musa untuk bertemu dengannya pada 30 Julai selepas mengambil kira suasana tegang ketika itu dan DUN Sabah dibubarkan pada pagi hari yang sama.

“Tuan Yang Terutama (Tun Juhar) amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengaitkannya,” kata beliau.

Beliau berkata, Juhar juga mengingatkan rakyat supaya bertenang dan tidak mudah mempercayai berita palsu di internet atau media sosial serta berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan menggugat keharmonian rakyat.

“Tuan Yang Terutama menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu hati dan mengekalkan keharmonian negeri Sabah yang hidup aman damai,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *