ESSCom Perlu Aset Udara Sendiri Kukuh Rondaan ESSZone

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) perlu memiliki aset udara sendiri untuk memperkukuh rondaan udara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Staf Operasi Udara ESSCOM, Brigedier Jeneral Ayub Khan Mohd Khan berkata, keperluan itu penting supaya pemantauan di udara dapat dilaksanakan lebih terancang sekali gus dapat membanteras kumpulan penculikan untuk wang tebusan.

“ESSCom beroperasi lebih tujuh tahun dan seharusnya memiliki sekurang-kurangya sebuah aset udara bagi memudahkan tugas pemantauan udara di sekitar perairan ESSZone yang begitu luas dan sering berlaku aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Pada 2017, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan satu penilaian pesawat Multi Sensor Reconnaissance and Identification (MRI), kemudian diikuti oleh Makmal Pengurusan Nilai (VM LAB) pada 2018 untuk menilai keperluan ESSCom, tetapi sehingga kini perkara itu masih lagi di peringkat status quo,” katanya dalam satu kenyataan di Tawau, hari ini.

Ayub Khan berkata, melalui pemilikan aset udara ESSCom itu, rondaan unit udara dapat dijalankan lebih agresif dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Rondaan agresif antara lain membolehkan tinjauan dilakukan di kawasan panas serta laluan yang menjadi ‘staging points’ penjenayah rentas sempadan, hal ini secara tidak langsung dapat mengesan sebarang modus operandi penjenayah rentas sempadan dan digagalkan,” katanya.

Menurutnya, ketika ini ESSCom bergantung kepada aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang mempunyai misi dan jadual penerbangan yang ditetapkan oleh pihak atasan masing-masing.

“Sekiranya ada operasi khas termasuk kes kecemasan yang memerlukan tindakan pantas, sukar bagi pihak ESSCom untuk bertindak dengan kadar segera kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan aset berkenaan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata ESSCom kini dalam proses pemerkasaan fungsi serta peranan di ESSZone dan berharap bahagian operasi udara dalam agensi itu dinaik taraf dan dilengkapi dengan penempatan aset udara bagi memudahkan penugasan dan pemantauan.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *