BN, PN Perlu Guna ‘Formula 1 Lawan 1 Hadapi PRN Sabah – MCA

Chong (kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Bersama Ahli-Ahli Sabah MCA Mengenai Persediaan PRN Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: MCA mahu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan memastikan calonnya bertanding menggunakan formula satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, berkata formula itu adalah antara strategi yang perlu diambil kira jika mahu memastikan kemenangan calon BN dan PN dalam PRN kelak.

Katanya, setakat ini parti itu sudah mengadakan pertemuan bagi membincangkan kerusi bakal ditandingi tetapi belum mencapai kata putus.

“MCA Sabah mula berbincang mengenai pembahagian kerusi dengan BN Sabah. Kita mahu perbincangan ini mencapai satu kata sepakat.

“Kalau boleh, kita mahu satu lawan satu dengan parti lawan jika mahu BN atau PN kembali memerintah Sabah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MCA Sabah hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung dan Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong.

Mengulas mengenai calon, Sin Woon berkata, senarai penuh calon masih belum dimuktamadkan dan akan diputuskan selepas perbincangan dengan komponen BN serta PN selesai.

Sementara itu katanya, MCA Sabah harus mencari jalan untuk diterima sepenuhnya sebagai parti yang berkhidmat untuk Sabah.

“MCA Sabah bertapak di sini lebih 30 tahun, maka ia perlu mencari jalan untuk terus diterima di Sabah dan tidak lagi dilihat parti dari Semenanjung,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *