Guru Maut Baru Bernikah 10 Hari Lalu

Dayana yang maut dalam kemalangan di Kampung Kijang berhampiran Jambatan Merotai awal pagi tadi baru melangsungkan pernikahan pada 27 Julai lalu dengan Nurhan. – Foto Facebook

Guru maut baru bernikah 27 Julai lalu

TAWAU: Guru yang maut dalam kemalangan di Kampung Kijang berhampiran Jambatan Merotai awal pagi tadi baru melangsungkan pernikahan pada 27 Julai lalu.

Dayana Damsah, 27, maut di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki bersama tiga rakan sekerjanya terbabas sebelum terjunam ke gaung.

Ibu mentua mangsa, Pujiah Narusin, 56, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya, Nurhan Ayub, 27 suami kepada Dayana yang memintanya segera ke hospital kerana menantunya itu terbabit kemalangan kira-kira 7.50 pagi.

“Ketika itu kami cuma dimaklumkan ada mangsa yang terkorban, namun identiti belum dapat dikenal pasti sehinggalah pengecaman dibuat ahli keluarga,” katanya.

Pujiah berkata, Dayana dan anaknya melangsungkan pernikahan pada 27 Julai lalu dan majlis kenduri dibuat di kediaman sebelah pihak perempuan di Kampung Pasir Putih, dekat sini, pada hari yang sama.

“Pihak kami pula baru sahaja selesai mengadakan kenduri pada Sabtu iaitu 1 Ogos lalu di Kampung Muhibbah, sebelum Nurhan pulang bertugas di Kemaman, Terengganu petang semalam,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa menantunya itu.

Dalam kejadian itu juga, seorang lagi rakan mangsa, Nurizyani Kafli@Masri, 24, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tawau sementara dua lagi rakannya Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin cedera parah serta mendapat rawatan di hospital yang sama.

Semua mangsa mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas dan dalam perjalanan dari Jalan Merotai menuju ke sekolah ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, suami mangsa yang bekerja sebagai jurutera dengan syarikat minyak dijangka tiba dari Terengganu jam 7 malam ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *