Dua Guru Maut Kereta Terbabas Di Merotai

Dua guru maut selepas kereta mereka terbabas sebelum terjunam ke gaung dekat Kampung Kijang, berhampiran jambatan Merotai Besar di sini, pagi tadi. NSTP/Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Dua guru maut selepas kereta mereka terbabas sebelum terjunam ke gaung dekat Kampung Kijang, berhampiran jambatan Merotai Besar di sini, pagi tadi.

Dua lagi rakan sekerja mereka, Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin cedera parah serta dirawat di Hospital Tawau.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.02 pagi dan menghantar tujuh anggota bersama dua jentera ke tempat kemalangan.

Beliau berkata, empat guru itu mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas dalam perjalanan dari arah Jalan Merotai menuju ke sekolah.

“Seorang mangsa dikenali sebagai Dayana Damsah, 27 maut di lokasi kejadian manakala Nurizyani Kafli@Masri, 24, meninggal dunia di wad kecemasan hospital Tawau.

“Kemalangan itu membabitkan kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan dan terbalik.

“Semua mangsa terhumban keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulbada berkata, dua mangsa pertama berjaya dikeluarkan orang awam sementara dua lagi oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Operasi ditamatkan 7.20 pagi.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *