COVID-19: Sabah Catat Dua Kes Baharu Hari Ini

KOTA KINABALU: Dua kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kedua-dua kes di Penampang dan Beluran itu merupakan jangkitan tempatan yang dikesan melalui saringan prapembedahan dan saringan rujukan ke hospital.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan dua kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah sebanyak 402 kes.

Bilangan kes aktif yang masih dirawat di hospital berpakar seluruh Sabah adalah sebanyak 16 kes, iaitu enam kes di Penampang; tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Sandakan. Manakala, masing-masing satu kes di Tawau, Tuaran, Kota Belud, Papar dan Beluran.

Beliau berkata, dua kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini kekal seramai 378 kes.

Kes kematian di Sabah kekal dengan lapan kes, masing-masing empat kematian di Kota Kinabalu dan satu kematian di Tawau, Penampang, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak 21 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 9,023 kes. Kes baharu itu terdiri daripada enam kes tempatan dan 15 kes import.

Bilangan kes aktif di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 196 kes, termasuk dua kes di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Manakala, terdapat 18 kes pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,702 kes.

Kes kematian di Malaysia sehingga kini kekal 125 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *