Lelaki Tertembak Bapa Saudara Ketika Memburu

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass menunjukkan bakakuk yang digunakan lelaki berkenaan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang keluar memburu di kawasan hutan Kampung Romokon, Kiulu, di sini, tertembak seorang warga emas berusia 70 tahun, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 49 tahun terbabit dikatakan melepaskan tembakan ke arah atas bukit selepas melihat pergerakan yang disangka haiwan buruan.

Namun sebaik memeriksa objek yang ditembak, lelaki terbabit terkejut apabila mendapati tembakan itu sebenarnya terkena bapa saudaranya sendiri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, suspek kemudiannya membawa mangsa balik ke rumahnya dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Tambunan.

Katanya, hasil siasatan, mangsa mengalami kecederaan di bahu, kepala dan paru-paru serta patah tulang rusuk.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut kerana memerlukan bantuan pernafasan.

“Siasatan juga mendapati, senapang yang digunakan adalah bakakuk buatan sendiri yang diwarisi suspek daripada arwah bapanya,” katanya pada sidang media dipejabatnya, hari ini.

Zaini berkata, suspek juga mengaku tidak memiliki lesen senjata api dan membeli peluru daripada kenalannya di Penampang dengan harga RM150 sekotak.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek dan mangsa keluar memburu secara berasingan tetapi pada waktu yang sama.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Selsyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Senapang bakakuk dan peluru serta peralatan lain yang dipakai ketika kejadian dirampas untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.- AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *