Hampir Semua 13 Janji Manisfesto Warisan Sudah Ditunai

Jaujan ketika ditemui dalam majlis perjumpaan tersebut.

TAWAU: Hampir semua 13 janji dalam manisfesto Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu sudah ditunaikan selama lebih dua tahun memegang tampuk pimpinan di negeri Sabah.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Jaujan Sambakong berkata sejak rakyat memberikan mandat kepada parti Warisan menerajui negeri Sabah banyak yang sudah dilakukan terutamanya dalam menyelesaikan masalah rakyat dan pembangunan negeri.

“Kita sudah melaksanakan lebih separuh daripada janji manisfesto PRU lalu dan sebahagiannya masih dalam perancangan untuk dilaksanakan setelah mengambil kira semua perkara.

“Kerajaan berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang disuarakan oleh rakyat terutamanya yang melibatkan hak-hak mereka yang sudah dicabuli oleh kerajaan dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, semasa PRU lalu kita menerima pelbagai rungutan daripada rakyat terutamanya berkaitan hak milik tanah warisan nenek moyang mereka yang dirampas oleh pihak-pihak tertentu.

“Oleh itu, kerajaan cuba sedaya upaya mengotakan janji untuk menyiasat perkara tersebut sebelum memberikan hak yang sekian lama menjadi tuntutan mereka kepada pemerintahan kerajaan lama, namun tidak diselesaikan.

“Buktinya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sendiri yang turun memberikan geran tanah kepada 2300 penama di Keningau, malah banyak lagi penama di tempat-tempat lain yang akan diberikan selepas keadaan pandemik COVID-19 pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengahdiri perjumpaan bersama pemimpin dan sayap parti Warisan Parlimen Tawau, di sini.

Jaujan berkata, walaupun kita banyak mendapat fitnah daripada pihak-pihak tertentu tetapi itu tidak menjadi alasan dan masalah untuk kita bekerja ditahap maksima, malah tindakan mereka itu menjadi semangat supaya kami bekerja dengan lebih gigih lagi.

“Mereka mengatakan selama Warisan memegang pemerintahan tiada satu pun manisfesto yang ditunaikan. Itu merupakan satu tuduhan yang tidak berasas dan kita anggap tuduhan tersebut hanya cerita politik,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaan tersebut, beliau berkata ianya sangat penting bertemu semua sayap parti yang dianggap sebagai barisan hadapan dalam jentera pilihan raya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Saya memberikan penerangan mengenai persiapan dari segi langkah dan strategi untuk menggerakkan jentera, lebih-lebih lagi keadaan sekarang masih dalam ancaman wabak COVID-19.

“Cara mendekati rakyat sudah tentu dengan cara berhemah dan mematahui semua prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *