Empat Kilang Ais Dan Bank Di Semporna Dikenakan Tindakan

Pegawai Pejabat Kesihatan Semporna membuat pemeriksaan di kilang ais yang beroperasi secara haram. Gambar ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Semporna.

SEMPORNA: Empat kilang ais di Semporna dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk dua diarah tutup serta merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah Semporna menerusi Ops Perlesenan, hari ini.

Dalam operasi jam 10 pagi, sebanyak enam kilang ais diperiksa dengan dua daripadanya turut diberi notis kompaun masing-masing sebanyak RM3,500.

Pegawai Pejabat Kesihatan Semporna membuat pemeriksaan di sebubah Bank di Semporna.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, berdasarkan siasatan dan maklumat, ada antara kilang ais berkenaan didapati beroperasi secara haram sejak satu hingga dua tahun lalu.

“Sehubungan itu, kita mengeluarkan arahan penutupan terhadap dua kilang terbabit mengikut Peraturan 394A Akta Keselamatan Makanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dua lagi kilang ais masing-masing diberi notis kompaun RM3,500 kerana melanggar Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan selain tidak memiliki Sijil Pengendalian Makanan serta tidak mempunyai kad kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Dr Shameer Khan berkata, pihaknya turut mengeluarkan arahan penutupan sementara ke atas sebuah bank selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

Ia berikutan kesesakan luar biasa di bank berkenaan selepas menerima kehadiran pelanggan yang terlalu ramai terutama di kawasan siar kaki selain ruang mesin pengeluaran wang sehingga mereka gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pihak kami turut mengesyorkan bank itu menambah pengawal keselamatan selain membuka kaunter khas di luar premis dengan kebenaran pejabat daerah bagi mengatasi masalah kesesakan sekali gus mengurangkan risiko penyebaran Covid-19,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *