Saya Keluar Kerana Tidak Setuju Kerajaan Sabah Terus Sokong Mahathir – Kenny

Adun Inanam Kenny Chua berkata, beliau kekal dengan pendirian menyokong Anar Ibrahim sebagai perdana menteri. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Adun Inanam, Kenny Chua berkata, tindakannya keluar daripada kerajaan diterajui Warisan baru-baru ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Sabah untuk terus menyokong Dr Mahathir Mohammad.

Ini merupakan kali pertama Kenny membuka mulut selepas tindakannya melompat parti menyokong bekas ketua menteri Sabah Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie Apdal.

Katanya, beliau kekal dengan pendiriannya menyokong presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kenny bagaimanapun dipecat daripada PKR berikutan tindakannya cuba menjatuhkan Shafie.

“Bertentangan dengan prinsip saya untuk bersama-sama kerajaan negeri diketuai Warisan kerana mereka secara terbuka menyokong Mahathir.

“Parti itu juga dilaporkan sedia meminda perlembagaan untuk menjemput beliau.

“Saya telah cakap berulang-kali lebih baik saya setia kepada presiden parti dan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi sebagai perdana menteri Malaysia seterusnya yang dijanjikan kepada rakyat Sabah dalam pilihan raya umum lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas pembantu menteri kewangan Sabah itu bagaimanapun berharap beliau diberi peluang kedua oleh rakyat untuk memperbetulkan kesilapan dalam sistem pentadbiran.

“Sejak dari mula dipilih, niat saya ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Inanam dan Sabah amnya.

“Jika diberi peluang sekali lagi, saya akan terus melakukan yang terbaik. Saya mahu perbetulkan apa yang salah dalam sistem sekarang,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *