PRN Sabah: UPKO Akan Pertahan Kerusi Tradisi

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, parti itu akan mempertahankan mana-mana kerusi yang ditandingi dalam PRU lepas dan itu prinsipnya.

“Pada prinsipnya dimana (kerusi) kita menang dulu, kita akan pertahan. Itu prinsip utama bagi parti,” katanya selepas Perjumpaan Parti Warisan Sabah bersama UPKO dan Pakatan Harapan (PH) Plus, di sini hari ini.

Beliau berkata, dari segi calon, memang ada banyak bakat-bakat dalam parti yang sedang dipertimbangkan.

”Namun, kita ambil iktibar tentang apa yang berlaku (sebelum ini) dimana, wakil rakyat telah belot.

“Sebab itu kita setuju bahawa keutamaan paling penting adalah calon parti mesti setia kepada perjuangan parti.

“Calon juga mesti orang yang membawa kemenangan. Semua ini kita akan bawa kepada perbincangan sebab calon begitu ramai yang berminat,” ujarnya.

Mengenai slot bagi 13 kerusi baharu, Madius berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini.

Untuk peringkat parti UPKO pula, agihan kerusi akan cuba diselesaikan dalam tempoh dua minggu sebelum mesyuarat bersama rakan sekutu diadakan.

Mengenai persediaan UPKO berdepan PRN, Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, mereka sudah bersedia sejak dua tahun lalu dari segi jentera pentadbiran parti sehingga jentera pilihan raya.

Beliau berkata, UPKO bersama rakan-rakan lain dalam Warisan-PH Plus juga mempunyai bekerjasama yang baik sehingga ke akar umbi. Inilah kunci kemenangan.

Ditanya adakah beliau akan bertanding dalam kerusi DUN, Madius berkata, memang ada permintaan untuknya bertanding namun, belum tiba masanya beliau mengumumkannya. Ia akan diputuskan dalam masa dua minggu lagi.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *