UMNO Sabah Tidak Ketepi Rakan Soal Agihan Kerusi, Kata Bung Moktar

Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin (tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat khas parti itu di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Walaupun menyuarakan hasrat untuk bertanding di semua kerusi yang pernah ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Umno Sabah tidak akan mengetepikan parti lain yang bersama-sama menentang kerajaan diterajui Warisan.

Pengerusinya, Bung Moktar Radin berkata, pihaknya akan berunding dengan Barisan Nasional (BN) dalam sehari dua ini dan seterusnya dengan rakan-rakan parti lain yang tidak pro-Warisan berhubung pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Sebentar tadi Umno Sabah telah selesai bermesyuarat dan kita membuat beberapa ketetapan untuk menghadapi PRN, termasuklah daripada aspek agihan kerusi, kenal pasti calon, penyusunan jentera dan beberapa perkara lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah di ibu pejabat parti berkenaan di sini, hari ini.

Bung berkata, PRN kali ini amat luar biasa kerana ia signifikan antara parti-parti yang bakal bertanding.

“Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan, namun apa yang penting, kita harus yakinkan pengundi di luar sana, di luar bandar dan anak-anak muda.’

“Kita sekarang ini hidup dengan norma baru, jadi orang di luar sana pun mahukan tawaran baru yang boleh ditunaikan, bukan macam Warisan dan PH (Pakatan Harapan) dulu.

“Apabila janji tidak ditunaikan, mengatakan janji itu bukan ‘kitab suci’, bukan saja orang ramai marah, Tuhan pun marah,” katanya.

Terdahulu PPBM menyatakan hasrat untuk bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Hajiji Noor bagaimanapun berkata, parti itu sedia berunding dengan rakan-rakan parti lain.

PRN Sabah bakal diadakan susulan pembubaran DUN oleh Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal, Khamis lalu.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya berhubung ketiadaan bekas ketua menteri, Musa Aman, yang juga Adun Sungai Sibuga dalam mesyuarat itu, Bung berkata, mesyuarat berkenaan hanya membabitkan ketua bahagian.

“Mesyuarat ini hanya libatkan ketua-ketua bahagian dan ketua bahagian Sungai Sibuga juga hadir, Musa bukan ketua bahagian lagi,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *