Filipina Di Ambang Kekalahan Menentang Wabak COVID-19

Gambar fail bertarikh 15 Mac 2020 menunjukkan askar turut dikerah berkawal semasa pelaksanaan perintah berkurung bagi membendung penularan COVID-19 di Filipina. – Foto AFP

MANILA: Filipina hari ini melaporkan sebanyak 5,032 jangkitan COVID-19 tambahan, peningkatan harian terbesar yang menjadikan kes yang disahkan di negara itu kini 103,185.

Buletin Jabatan Kesihatan negara itu mengatakan jumlah kematian COVID-19 di negara itu juga telah meningkat sebanyak 20 kepada 2,059 orang.

Presiden Rodrigo Duterte dijadualkan bertemu dengan anggota kabinet utama hari ini untuk membincangkan seruan oleh kumpulan barisan perubatan supaya meletakkan ibu negara Manila, yang menyumbang sejumlah besar jangkitan, kembali melaksanakan perintah berkurung lebih ketat, kata jurucakapnya.

Beberapa persatuan doktor di negara itu memberi amaran bahawa Filipina sedang berdepan kekalahan dalam perlawanan menentang COVID-19 dan menggesa Duterte mengetatkan perintah berkurung yang dilonggarkan baru-baru ini.

Ini kerana jumlah kes baharu terus meningkat dan hospital mula menolak kemasukan pesakit.

Sebanyak 80 persatuan perubatan mewakili puluhan ribu doktor menandatangani surat terbuka, sehari selepas negara itu mencatatkan rekod harian tertinggi iaitu lebih 4,000 jangkitan baharu semalam.

“Pekerja penjagaan kesihatan bersatu dalam memberi isyarat bahaya kepada negara di mana sistem penjagaan kesihatan kita menerima terlalu banyak kes.

“Kita sedang berdepan kekalahan dalam perang menentang COVID-19 dan kita perlu menyusun pelan tindakan yang berkesan,” kata surat itu.

Semakin banyak pekerja kesihatan jatuh sakit dan ada yang meletakkan jawatan, manakala terdapat hospital yang terlalu sesak mula menolak kemasukan pesakit baharu.

Kerajaan menyalahkan ketidakpatuhan terhadap protokol kesihatan yang menjadi punca peningkatan ketara kes jangkitan baharu.

Pada pertengahan Mac lalu, Filipina adalah antara negara yang melaksanakan perintah berkurung paling ketat, yang memaksa semua penduduk berada di rumah kecuali untuk tujuan membeli makanan dan rawatan kesihatan.

Namun, baru-baru ini, kerajaan Duterte melonggarkan sekatan berkenaan bagi membolehkan orang ramai kembali bekerja selepas munculnya jangkaan bahawa ekonomi Filipina bakal berdepan kemelesetan. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *