7 Cedera Bot Pelancong Terbakar Di Semporna

Keadaan bot yang terbakar dan berlaku letupan mengakibatkan 2 daripada 7 lelaki kritikal kerana melecur. Foto NSTP/Ihsan pembaca

SEMPORNA: Tujuh pekerja sebuah pusat pelancongan cedera dalam satu kejadian letupan sebuah bot berhampiran Jalan Kastam, dekat sini, semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu mengakibatkan dua daripada mangsa kritikal manakala lima lagi separa dan masing-masing dihantar ke hospital Tawau untuk rawatan.

Sumber berkata, ketika kejadian, semua mangsa lelaki berumur 30-an berada dalam bot sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan petrol dari sebuah tangki minyak yang bercampur dengan air.

Bagaimanapun, ketika kerja pemindahan dilakukan, berlaku letupan secara tiba-tiba pada tangki minyak berkenaan menyebabkan sebahagian mangsa terpelanting ke laut.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa melecur pada beberapa anggota badan termasuk dua daripadanya kritikal.

“Bomba menerima panggilan kejadian itu pada 1.16 petang iaitu selepas semua mangsa dihantar hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan masih menunggu laporan lengkap mengenai insiden itu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *