PRN Sabah: Senarai Calon PKR Minggu Depan

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: PKR Sabah akan memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri itu, selewat-lewatnya minggu depan.

Ketuanya, Datuk Christina Liew berkata, beliau dijangka menerima cadangan bakal calon bagi seluruh negeri dalam beberapa hari akan datang.

“Kali ini, terdapat beberapa faktor untuk kami nilaikan. Bagi setiap nama yang dicadangkan, kami akan memeriksa latar belakangnya secara menyeluruh.

“Antaranya, Parti akan menilaikan pendidikan, kewangan, dan kecenderungan politik calon.

“Ia bukan keputusan saya sendiri, tetapi keputusan berkumpulan bersama jawatankuasa pemilihan biro parti,” katanya kepada wartawan selepas pertemuan dengan pemimpin akar umbi cabang Inanam PKR Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Liew yang juga ahli Parlimen Tawau dan Api-Api turut menyatakan rasa kesal ke atas tindakan beberapa bekas pemimpin parti dan berkata, mereka akan lebih berhati-hati kali ini untuk mengelakkan pengkhianatan berulang kali.

Khamis lalu, PKR memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua selepas didakwa bersama kumpulan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

“Saya tidak bimbang tindakannya akan memberi kesan negatif kepada parti. Pilihan raya ini adalah keputusan terbaik dibuat Ketua Menteri kita (Shafie) bagi membolehkan rakyat memutuskan apa yang terbaik (untuk Sabah) dan siapa mereka mahukan sebagai Ketua Menteri,” tegasnya.

Bercakap lebih lanjut berhubung perundingan kerusi, terutama 13 kerusi DUN baharu untuk Sabah, Liew mengatakan perkara itu akan dipertimbangkan dalam parti sebelum dibincangkan dengan parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP dan Parti Amanah Negara.

Liew berkata, PH Sabah akan membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi DUN sebelum menyampaikan senarai gabungan itu kepada Ketua Menteri.

Liew juga menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan jika PKR Sabah akan bertanding di mana-mana kerusi baharu tetapi menekankan mereka akan meneliti semua kemungkinan untuk meletakkan penyandang dan calon baru dalam pilihan raya negeri.

“Apa yang penting bagi PKR adalah kita mesti bekerja di bawah bidang kuasa PH serta bersama Warisan dan Upko sebagai satu pasukan. Pilihan raya ini memberi cabaran tetapi saya percaya ‘rakyat’ bersama kami,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *