Penganalisis Jelaskan Sebab Musa Rasa Dirinya ‘Dipermainkan’

Musa Aman

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, beliau memahami kenapa bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman merasakan dirinya “dipermainkan” selepas penggantinya, Shafie Apdal mendapat persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang akan memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia memberitahu FMT, Musa tidak diberikan peluang sama untuk menggantikan Shafie sebagai ketua menteri sepertimana presiden Warisan itu dibenarkan menggantikannya selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Gabenor, berdasarkan kebijaksanaannya, mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang terbaik bagi negeri itu, dan malah saya bersetuju pilihan raya mungkin cara terbaik untuk menyelesaikan krisis politik itu.

“Tetapi, Musa dan penyokongnya akan merasakan mereka dilayan secara tidak adil dengan keputusan itu. Apabila Shafie menunjukkan beliau mempunyai majoriti mencukupi selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Musa disingkirkan dan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.”

Kini, Kamarul berkata, keadaan berubah dan Musa pula yang berkata beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baru, tetapi gabenor membenarkan pilihan raya diadakan.

“Keadaannya sama, tetapi dalam kedua-dua kejadian itu, Musa mendapati dirinya kalah.”

Kelmarin, Musa dilaporkan berkata, beliau dipermainkan buat kali ke-2 selepas DUN dibubarkan.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018, tetapi 2 hari kemudian, beliau diminta berundur oleh Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin, yang membenarkan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Khamis lalu, Musa dan penyokongnya dihalang daripada memasuki istana untuk menemui Juhar.

Disebabkan pernah berlaku ketua menteri dilantik berdasarkan majoriti diperolehinya di DUN, Kamarul berkata, ia mungkin baik untuk gabenor menjelaskan kenapa beliau memberikan persetujuan bagi pembubaran DUN dan bukannya melantik Musa sebagai ketua menteri baru.

“Ini untuk mengelakkan rakyat membuat spekulasi atau meragui istana Sabah.”

Katanya, jika Juhar merasakan Musa bukan calon sesuai untuk jawatan itu, beliau boleh meminta majoriti Adun mencadangkan calon lain.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *