Tiga Peristiwa Sejarah Sempena Hari Raya Korban

Hari Raya Aidil Adha dipanggil juga hari raya haji atau hari raya korban bukan saja bagi meraikan kejayaan Umat Islam mengerjakan Fardu Haji tetapi terdapat tiga peristiwa sejarah yang perlu kita jadikan iktibar.

Peristiwa pertama: Adalah kisah Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s yang diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim agar meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus.

Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat islam menunaikan rukun islam yang ke lima iaitu Mekah.

Peristiwa kedua adalah ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu?

Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).

Lantas Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.” – Surah al-Soffaat: 101-108.

Peristiwa ketiga ialah pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua Nabi Allah yang mulia ini.

Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh.

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

‘Dan (ingatlah), ketika kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat.’ – Oleh: SYA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *