Pilihan Raya Sabah Boleh Selesaikan Kemelut Politik

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) menunjukkan surat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN Sabah pada sidang media khas di Kota Kinabalu semalam.

KUALA LUMPUR: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan adalah resolusi terbaik bagi menyelesaikan ketidaktentuan dan kemelut politik di negeri itu.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata keputusan pilihan raya itu akan memberi petunjuk jelas mengenai sokongan rakyat terhadap pemimpin pilihan mereka.

Musa Aman dalam sidang media khas di kediamannya di Luyang semalam. - Foto BERNAMA
Musa Aman dalam sidang media khas di kediamannya di Luyang semalam. – Foto BERNAMA

Beliau yang juga penganalisis politik, berkata walaupun pilihan raya akan diadakan dalam situasi penularan wabak COVID-19, namun ia harus berlangsung bagi menamatkan kemelut politik di Sabah.

“Jika diambil kira krisis Sabah pada 1994, apabila berlaku pembubaran DUN, kita dapati akan ada satu parti politik yang menang lebih besar…politik Malaysia amat dinamik. Ia boleh berubah dalam masa singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Politik Sabah: Mandat dan Hala Tuju’ yang disiarkan Bernama TV, malam tadi.

Senada dengan beliau, seorang lagi penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun, berkata kebanyakan rakyat Sabah berpendapat keputusan pilihan raya yang membabitkan kira-kira 1.2 juta pengundi Sabah, bakal menjadi ukuran sokongan politik terbaik jika bersandarkan situasi politik yang sering berubah-ubah disebabkan pembelotan dan lompat parti.

Beliau yang juga Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, yang berpusat di Singapura, berharap pilihan raya negeri kali ini dapat menampilkan calon muda bagi menerajui kepimpinan negeri Sabah.

Bagaimanapun, seorang lagi penganalisis politik yang turut menjadi ahli panel program itu, Musram Rakunman, berkata ramai rakyat Sabah berpendapat adalah tidak wajar mengadakan pilihan raya negeri ketika ini, kerana rakyat Sabah masih bimbang dengan penularan wabak COVID-19.

“Kawan-kawan di kedai kopi cakap macam mana nak mengundi, mereka takut dengan COVID-19…rata-rata rakyat Sabah tidak berminat politik ketika ini. Mereka hanya mahu kerajaan menumpukan masalah ekonomi dan memerangi COVID-19,” kata Musram, seorang penulis dan juga penganalisis politik Sabah.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN yang akan menyaksikan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.– BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *