ADUN Paginatan Dipecat

Abidin Madingkir

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Kinabalu (UPKO), memecat Naib Presidennya, Datuk Abidin Madingkir berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa terbabit bersama bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini, Abidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan dipecat selepas mesyuarat diadakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UPKO, semalam.

“Dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO, semalam mendapati Abidin terbabit bersama bekas ketua menteri Sabah itu untuk cuba mengambil alih kerajaan Sabah,” katanya kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan, Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu dan layak dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu kerana mendapat sokongan 33 ADUN melalui Akuan Bersumpah.

Selain Abidin dari UPKO, antara ADUN yang terbabit menyokong Musa adalah ADUN Inanam, Kenny Chua yang turut dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam serta seorang ADUN dilantik dari DAP, Loh Ee Eng Ronnie.

Dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang turut menyokong Musa adalah Datuk Hamisah Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Muis Picho (Sebatik). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *