Tiba Masa Pulangkan Mandat Kepada Rakyat – Shafie

KOTA KINABALU: ”Sudah sampai waktunya kita pulangkan mandat kepada rakyat”.

Demikian kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, beliau yakin orang Sabah mempunyai maruah.

“Saya tahu tekanan yang mereka lakukan bagi mendorong kita untuk menyokong mereka, membuat pusingan U.

“Jadi, kita perlu mempertahankan (mandat) rakyat dan negeri Sabah.

“Macam mana berat sekali pun tekanan yang diberikan, Sabah perlu dipertahankan.

“Bukan saya mahu pertahankan jawatan Ketua Menteri. Tiada ertinya saya kekalkan jawatan jika saya tidak dapat pertahankan hak orang Sabah demi masa depan anak-anak kita,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama wakil rakyat Sabah, di sini hari ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, sudah banyak yang dilakukan dan diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Warisan yang memerintah hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya pihak terus bertenang bagi menghadapi cabaran sementara menanti pengumuman tarikh Hari Mengundi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari, bermula hari ini.

Untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini, sebanyak 73 kerusi akan dipertaruhkan termasuk 13 kerusi DUN baharu yang telah diwartakan. Kerusi baharu DUN Sabah itu merupakan tambahan kepada 60 kerusi sedia ada.

13 kerusi baharu itu adalah Pintasan (Kota Belud); Pantai Dalit (Tuaran); Darau (Sepanggar); Keramat (Putatan); Limbahau (Papar); Tulid (Pensiangan); Bengkoka (Kudat); Bandau (Kota Marudu); Telupid (Beluran); Sungai Manila (Libaran); Lamag (Kinabatangan); Segama (Lahad Datu-Silam); dan Kukusan (Kalabakan).- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *