Shafie Mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah

Kenderaan yang dipercayai membawa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memasuki pintu gerbang Istana Negeri Sabah untuk mengadap Yang DiPertua Negeri Sabah hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin selama kira-kira setengah jam di Istana Negeri, di sini, pagi ini.

Kira-kira lima kenderaan dengan satu daripadanya mempunyai lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) mengiringi kenderaan Mohd Shafie, masuk ke Istana Negeri melalui pintu di Padang Merdeka, kira-kira jam 8.20 pagi, dan mereka dilihat keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Pagi ini, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan dijadual mengadakan sidang media pada jam 10 pagi di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Sidang media berkenaan difahamkan antara lain mempunyai kaitan dengan dakwaan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman semalam, yang menyebut beliau mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Musa dalam sidang medianya itu mendakwa sudah emperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu, namun beliau tidak memberitahu jumlah majoriti mudah yang dimilikinya.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati semua laluan pintu masuk ke Istana Negeri dikawal ketat oleh pihak keselamatan, dengan kedua-dua laluan ke Istana Negeri iaitu di bulatan Karamunsing serta Padang Merdeka ditutup, dan pengamal media tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *