Rampasan Kuasa Gagal, Shafie Serah Rakyat Tentukan

KOTA KINABALU: Cubaan rampasan kuasa bagi menjatuhkan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan pagi tadi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal memusnahkan harapan Tan Sri Musa Aman untuk membentuk kerajaan baharu.

Mohd Shafie memaklumkan beliau telah mendapat perkenan Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT), Tun Juhar Mahiruddin pagi tadi untuk membubarkan DUN Sabah.

Katanya, TYT juga telah bersetuju menerima permintaan tersebut dan memberi perkenan bagi membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, tekanan politik yang dilakukan daripada pihak-pihak dari Kuala Lumpur yang kerap datang ke Sabah mendorongnya mengambil keputusan meminta perkenan TYT bagi membubarkan DUN Sabah.

”Semalam saya memaklumkan kepada Tun Juhar (pembubaran DUN)dan kita buat persediaan. Kemudian pagi tadi saya pergi ke Istana Negeri bagi mendapatkan perkenan,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan tertutup bersama ADUN dan Ahli Parlimen kerajaan Sabah, hari ini.

Mohd Shafie berkata, tidak wujud persoalan tentang jumlah kerusi yang mereka (Musa) ada kerana berdasarkan undang-undang negeri yang ada, beliau masih Ketua Menteri yang sah.

“Sebagai Ketua Menteri yang memerintah kerajaan hari ini, saya boleh memohon perkenan untuk membubarkan Dewan dan TYT mempunyai hak dan kuasa mutlak untuk membubarkan DUN.

“Saya mempunyai 45 surat akuan sumpah (SD) sejak dari awal. Tapi, apakan daya ada (ADUN) yang tidak kuat iman, dibeli dan dijanjikan jawatan,” ujarnya.

Sebelum berlakunya tindakan ADUN keluar beramai-ramai semalam, kerajaan Sabah mempunyai 45 daripada 65 kerusi DUN, termasuk lima kerusi ADUN dilantik.

Semalam, Musa mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu setelah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melompat keluar dari parti masing-masing.

Difahamkan 13 ADUN kerajaan Sabah keluar melompat dari parti masing-masing semalam bagi menyertai kem Musa untuk membentuk kerajaan baharu.

Antara senarai ADUN yang dipercayai meninggalkan parti bagi menyertai kem Musa adalah Datuk Osman Jamal (Balung); Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu); Datuk Muis Picho (Sebatik); Datuk Bolkiah Ismail (Pitas); Datuk Masiung Banah (Kuamut); Abd Rahman Kongkawang (Labuk); Datuk Anita Baranting (Tandek); Datuk Musbah Jamli (Tempasuk); Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau); Jamawi Jaafar (Kemabong); Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Kenny Chua (Inanam); dan ADUN dilantik Ronnie Loh.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *