Kami Masih Ada Majoriti Untuk Tadbir Sabah, Kata Timbalan KM

Shafie Apdal (berbaju putih) menemui penyokongnya di kediaman rasminya di Kota Kinabalu malam tadi.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew bertegas kerajaan negeri pimpinan Warisan masih memiliki sokongan majoriti Adun negeri itu, selepas bekas ketua menteri, Musa Aman mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

“Shafie Apdal masih menjadi ketua menteri…beliau mempunyai semua sokongan kami,” kata Liew yang juga ketua PKR Sabah selepas menghadiri pertemuan di kediaman rasmi Shafie malam tadi.

Terdahulu, Musa dilaporkan berkata, beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Katanya, beliau akan menemui gabenor Sabah tidak lama lagi untuk menyerahkan akuan berkanun ditandatangani Adun pelbagai parti yang menyokongnya dan bersetuju menyertai gabungan baru pimpinannya.

Sementara itu, Liew tidak menjangkakan Naib Ketuanya yang juga Adun Inanam, Kenny Chua akan berpaling tadah.

“Saya betul-betul terkejut. Beliau patut melakukan perkara terhormat dan meletak jawatan dalam parti.”

Chua yang juga pembantu menteri kewangan Sabah, antara Adun yang menghadiri sidang media di rumah Musa pada Rabu.

Dipercayai 10 hingga 12 Adun sudah berpaling tadah untuk menyokong Musa.

Sementara itu, sumber mendakwa Shafie sudah menemui Gabenor Sabah, Juhar Mahiruddin awal malam tadi.

Tidak jelas sebab kunjungan itu, tetapi ia dipercayai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Wartawan berkumpul di luar kediaman rasmi Shafie di Likas di sini sejak 9.30 malam dengan harapan untuk mendapatkan komen presiden Warisan itu.

Beliau pulang pada 10.30 malam tadi ditemani Liew, Naib Presiden Warisan, Jaujan Sambakong yang juga timbalan ketua menteri Sabah dan Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh, tetapi terus memasuki rumah di mana Adun menyokong Warisan turut hadir.

Shafie kemudiannya keluar dari rumah sebentar untuk menemui penyokongnya.

Ditanya jika beliau sudah menemui gabenor Sabah, katanya: “Saya akan bercakap (kepada anda) esok.”

Beliau dijadual mengadakan sidang media pada 10 pagi Khamis.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *