COVID-19: Kes Baharu Dijangka Naik Selepas Aidiladha

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu harian COVID-19 dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus berbanding sekarang, dalam tempoh beberapa minggu selepas Hari Raya Aidiladha.

Pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata jangkaan itu berdasarkan pertambahan jumlah kes harian dan kluster baharu wabak itu ketika ini.

Selain itu, katanya, beberapa insiden lain seperti pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin dan himpunan serta pergerakan pulang ke kampung sempena Aidiladha, dilihat bakal menyumbang kepada pertambahan kes harian.

“Punca utama peningkatan ini adalah kerana kita masih belum mampu untuk mengesan kadar jangkitan COVID-19 dalam komuniti, khususnya membabitkan mereka yang dijangkiti tapi tidak bergejala.

“Saya percaya, sekarang pun memang ada individu dijangkiti dan tidak bergejala yang bebas bergerak, cuma kita tidak tahu jumlah sebenar mereka.

“Langkah terbaik adalah untuk membuat ujian saringan dalam kalangan masyarakat awam, khususnya di kawasan yang ramai warga asing, namun ia membabitkan kos yang tinggi,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan pertambahan kes dan kluster baharu selepas Aidiladha, khususnya berikutan

banyak pelanggaran SOP dilaporkan baru-baru ini.

Antaranya membabitkan individu dijangkiti COVID-19 yang melanggar kuarantin di rumah selepas pulang ke luar negara, serta pelanggaran penjarakan sosial dan pelitup muka di beberapa himpunan politik baru-baru ini, di samping faktor masyarakat melakukan perjalanan rentas negeri untuk menyambut Aidiladha.

Berkongsi pandangan sama, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, percaya beberapa kluster baharu akan wujud dalam tempoh terdekat, khususnya berpunca daripada pelanggaran SOP.

“Berdasarkan purata data terkini, jumlah kes aktif dan kes baharu menunjukkan pola meningkat, dan jika kita masih tidak serius memberi fokus pada langkah pencegahan, kita berpotensi untuk melihat kewujudan banyak kluster baharu,” katanya.

Dr Malina berkata, kebanyakan kes baharu coronavirus ketika ini berpunca daripada individu yang tidak patuh perintah kuarantin di rumah, dan antaranya mungkin mereka tidak faham cara melaksanakan kuarantin itu.

“Arahan kuarantin itu jelas, tapi mungkin ada yang menyangka apabila kuarantin di rumah, mereka boleh bergaul dengan ahli keluarga.

“Sebenarnya tidak boleh. Suami isteri sekali pun tidak boleh duduk dalam satu bilik yang sama, dan perlu pakai pelitup muka jika nak berjumpa dalam rumah. Saya harap pelaksanaan semula stesen kuarantin dapat atasi masalah ini,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *