ADUN Inanam Dipecat Daripada PKR

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua Teck Ho, dipecat daripada PKR, berkuat serta-merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan ia adalah susulan beliau dilihat bersama kumpulan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang berniat menjatuhkan Kerajaan Sabah bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Lembaga Disiplin mengambil maklum keadaan politik di Sabah di mana pihak media semalam merakamkan gambar kehadiran Kenny Chua bersama kumpulan Musa yang berniat menjatuhkan Kerajaan Sabah.

“Selepas menerima pengesahan daripada Majlis Pimpinan Negeri Sabah mengenai keberadaan beliau dalam blok yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Sabah dan mengambil kira pendirian parti bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak boleh dibenarkan berlaku, maka Lembaga Disiplin mengumumkan Kenny Chua dipecat daripada PKR, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyatan dikeluarkan melalui Facebook rasmi PKR, hari ini.

Semalam, media melaporkan Musa pada satu sidang media khas di Kota Kinabalu, Sabah, mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *