Sabah Perketat Penguatkuasaan PKPP

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mewajibkan semua individu yang baharu pulang dari luar negara dan memasuki Sabah untuk menjalani perintah kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan bermula 29 Julai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan berdasarkan subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, tempoh kuarantin bagi individu di bawah pengawasan (PUS) adalah selama 14 hari atau berdasarkan jumlah hari penginapan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Kadar kos kuarantin di stesen kuarantin (hotel yang diwartakan)
bagi seorang warganegara dan bukan warganegara (termasuk tanggungan kepada warganegara) adalah sebanyak RM150 sehari.

“Kadar kos bagi pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat dan warganegara asal Sabah yang  dikuarantin di stesen kuarantin ditanggung oleh kerajaan.

“Bagaimanapun,  kadar kos warganegara yang bukan berasal dari Sabah dan bukan warganegara (termasuk tanggungan kepada warganegara) di stesen kuarantin adalah sebanyak RM150 sehari untuk seorang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kos ujian COVID-19 termasuk ‘Polimerase Chain Reaction Test’ (PCR) dan ‘Rapid Test Kit’ (RTK) yang ditetapkan oleh JKNS ditanggung oleh PUS.

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut mewajibkan semua pelaut atau anak kapal menjalani ujian COVID-19 berkuat kuasa 29 Julai.

Menurutnya, keputusan itu membabitkan anak kapal yang terlibat dalam proses pengambilan (signing-on) dan pelepasan (signing-off) di semua pelabuhan di Sabah.

“Kos ujian COVID-19 dan kos kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan akan ditanggung oleh majikan masing-masing dan para majikan dan semua anak kapal hendaklah mematuhi sepenuhnya prosedur oeprasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak yang berwajib,” katanya.

Shafie berkata, penguatkuasaan aktiviti dan perkara yang dibenarkan dalam peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diperketatkan.

Katanya, ia termasuklah pematuhan SOP pemakaian pelitup muka di tempat awam dan sentiasa mencuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun atau cecair pembersih tangan.

Menurutnya, pematuhan SOP bagi operasi di premis menjual makanan turut diperketatkan dengan menjaga jarak dua meter antara meja, penjarakan sosial satu meter antara pelanggan dan kapasiti pelanggan di satu meja adalah berdasarkan saiz meja dan duduk secara selang satu kerusi.

Beliau berkata, pengusaha dan pelanggan yang tidak mematuhi SOP akan dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *